PUTRAJAYA |
Kementerian Kesihatan mengenakan larangan import produk Manuka Honey berkuat
kuasa hari ini, susulan penarikan balik pengeluarannya di New Zealand kerana
kemungkinan mengandungi bahan terlarang.
Ketua Pengarah
Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata penarikan balik produk madu itu
dibuat Syarikat Evergreen Life Limited di New Zealand kerana terdapat maklumat
kemungkinan ada bahan tidak dibenarkan iaitu dihydroxyacetone dan methylglyoxal
yang digunakan dalam pemprosesannya.
Larangan itu
berkuat kuasa hari ini dan pengguna yang telah membeli produk itu dinasihatkan
supaya tidak memakan produk tersebut dan memulangkannya kepada penjual, katanya
dalam kenyataan di sini hari ini
“Walaupun tidak
ada bahaya keselamatan makanan, pengguna yang telah memakan produk ini dan
mempunyai keraguan terhadap kesihatan mereka boleh merujuk kepada doktor untuk
mendapatkan nasihat perubatan,” katanya.
Mengulas lanjut,
Dr Noor Hisham berkata pihaknya membuat tindakan susulan selepas penarikan
balik produk itu dilaporkan dalam laman web Kementerian Perusahaan Utama New
Zealand.
Katanya semakan
data import dari 2015 hingga kini yang diperoleh melalui Sistem Maklumat
Keselamatan Makanan Malaysia menunjukkan produk terbabit ada dibawa masuk ke
negara ini.
Dalam pada itu,
Dr Noor Hisham menjelaskan pihaknya juga dimaklumkan oleh pihak pengimport
produk tersebut bahawa mereka sedang menarik balik Manuka Honey daripada
pasaran secara sukarela.
Beliau berkata
ini kerana dua bahan tidak dibenarkan, ditambah pada makanan tersebut di bawah
Akta Makanan 1983.
“Pengguna tidak
perlu khuatir kerana kementerian sentiasa menjalankan aktiviti penguatkuasaan
dan pemantauan ke atas isu berhubung dengan keselamatan makanan bagi memastikan
kesihatan orang ramai sentiasa terjamin.
“Sekiranya
pengguna rasa ragu-ragu dengan status keselamatan makanan yang terdapat di
pasaran tempatan, pengguna boleh membuat laporan melalui Pejabat Kesihatan
Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman web
http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan
di www.facebook.com/bkkmhq,” katanya.
Sumber: Mynewshub
Sumber: Mynewshub