Madu secara
semula jadi sangat berkhasiat dengan ia mengandungi gula seperti fruktus dan
glukos, mineral seperti magnesium, kalium, kalsium, natrium klorida, sulfur,
besi dan fosfat dan vitamin B1, B2, C, B6, B5 dan B3.
Oleh kerana
inilah madu merupakan satu daripada ramuan penting dalam perubatan tradisional
yang diamalkan oleh pelbagai tamadun sejak berkurun-kurun.
Sebelum 1996,
pengumpul madu lebah tualang di daerah-daerah di Kedah seperti Padang Terap,
Ulu Muda, Sik, Baling, Jerai dan Kubang Pasu menjual hasil yang mereka kumpul
dalam botol di gerai tepi jalan serta pasar tempatan.
Dengan
penggunaan madu ini terhad kepada penduduk tempatan dan sesekali dibeli oleh
perantau yang melalui tempat-tempat ini, jualan tidak konsisten dengan harga
jualan antara RM20 dan RM22 setiap kilogram.
Bagaimanapun,
pada 1996 semua ini berubah apabila Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan
(FAMA) menubuhkan sebuah pusat mengumpul dan memproses di Kuala Nerang, Kedah,
untuk memudahkan pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan Madu Tualang.
FAMA
Ketua Pengarah
FAMA Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz berkata pusat ini adalah pusat sehenti
bagi pengutip madu di Kedah untuk menjual bekalan mereka.
"Ini
mendorong mereka mengumpul lebih banyak Madu Tualang dan sejak itu bekalan
meningkat daripada 2 hingga 5 tan sebulan kepada 10 tan sebulan semasa musim
kutipan.
"Harga juga
telah naik. FAMA kini membayar antara RM58 dan RM60 setiap kilogram bagi Madu
Tualang berkualiti premium. Madu ini diproses di pusat FAMA ini dan dipakej di
bawah jenama Agromas," katanya.
Madu ini yang
dijual di bawah jenama Agromas Tualang Honey selain boleh dibeli di 'House of
Honey' di pusat ini, juga boleh dibeli di pasaraya Mydin dan Giant selain
daripada Agro Bazaar terpilih di seluruh negara.
Menyedari
manfaat kesihatan dan seterusnya potensi pasaran bagi madu, pada 2007 FAMA menderma
1.36 tan Madu Tualang kepada Universiti Sains Malaysia (USM) bagi tujuan
penyelidikan.
MANFAAT
KESIHATAN DARIPADA MADU
Menurut Prof Dr
Nor Hayati Othman, Dekan Kajian Sains Klinikal di Universiti Sains Malaysia
(USM), Kelantan, keputusan daripada sejumlah 48 kajian menunjukkan Madu Tualang
apabila diminum atau disapu pada luka atau lecur di permukaan badan menawarkan
pelbagai manfaat perubatan.
"Walaupun
kajian ini masih di peringkat awal, keputusan yang menggalakkan ini menunjukkan
Madu Tualang mempunyai unsur anti-bakteria dan anti-oksidan yang boleh
memperlahankan pertumbuhan sel barah tertentu dan menghalang pembiakan spektrum
luas spesis bakteria dan kulat, selain menjadi sumber tenaga segera bagi
tubuh," katanya.
Madu merupakan
penawar berkesan bagi masalah sistem penghadaman kerana ia menggalakkan
kesihatan usus dan buah pinggang. Madu boleh dihadam dengan mudah kerana
molikul gulanya yang kompleks mudah ditukar kepada molikul gula yang lebih
mudah. Oleh itu, ia tidak merengsa lapisan pengalas sistem penghadaman dan
sebaliknya melegakan perut.
Nor Hayati
berkata madu merupakan satu keajaiban semula jadi.
"Ia dengan
sendiri makanan yang lengkap. Sebagai pengguna madu sejak 25 tahun yang lepas,
saya sangat percaya dengan manfaat Madu Tualang," tambah beliau.
"Madu
Tualang turut mengandungi beberapa elemen positif yang tidak terdapat pada madu
yang diimport," kata beliau. USM merupakan universiti penyelidikan pertama
di Malaysia menjalankan penyelidikan menyeluruh akan manfaat kesihatan bagi
madu.
Dalam
mengiktiraf usaha-usahanya, universiti ini menerima geran RM1 juta daripada
Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menjalankan penyelidikan lanjut akan subjek
itu.
Shariff berkata
FAMA akan terus membekalkan Madu Tualang kepada USM bagi tujuan penyelidikan.
Sumber: Mstar
Sumber: Mstar