Waktu bekerja yang panjang saban hari menyebabkan
eksekutif di salah sebuah syarikat swasta yang hanya mahu dikenali sebagai
Dayana Ismail, 35, sering mengadu keletihan dan tidak bermaya.
Pelbagai makanan tambahan juga telah dicuba. Namun,
menurut Dayana, makanan tambahan itu akhirnya menjadi hiasan meja dan terbiar
begitu saja. Selepas dicadangkan oleh seorang rakannya supaya mengamalkan madu
setiap pagi sebelum bersarapan, anak keempat daripada tiga beradik itu mengakui
terasa perbezaannya.
"Selepas beberapa bulan mengamalkan madu, saya
bukan saja rasa bertenaga bahkan masalah mudah letih yang dialami juga ada
perubahan," jelas Dayana. Menurut anak kelahiran Kuala Lumpur itu, dia
mengamalkan madu Yemen hasil saranan rakannya. Tambah Dayana, madu Yemen
berbeza berbanding madu-madu biasa terutama dari segi rasa. Meskipun harganya
sedikit mahal, namun Dayana tidak kisah melabur sedikit wang untuk
kesihatannya. Meskipun pada peringkat awal dia agak skeptikal dengan cadangan
rakannya mengenai madu Yemen, setelah mencubanya Dayana tidak teragak-agak
untuk mencadangkan kepada keluarga dan rakan-rakannya mengamalkan madu Yemen.
Apakah keistimewaan madu Yemen berbanding madu-madu lain?
Pemilik Rayyan Salsabila Enterprise menjadi syarikat
pengimport terbesar madu lebah Hadramawt ke Malaysia, Johari Abd. Wahab, 35,
memberitahu, lebah Yemen menghasilkan madu terbaik kerana serangga itu
mengambil nektar daripada pokok sidr dan summur.
Menurut beliau, spesies lebah bukan penentu khasiat dan
kualiti madu. Madu berkualiti diukur berdasarkan debunga pokok yang diambil
oleh lebah.
"Dua kabilah utama yang menjaga kawasan tanaman
pokok bidara di Hadramawt iaitu Bani Dhoun dan Bani Wadi Bin Ali.
"Menjelang bulan September setiap tahun,
kedua-dua kabilah itu akan meletakkan bongkah kayu berdekatan kedua-dua tanaman
itu," ujarJohari yang juga merupakan penceramah bebas di negara ini.
Buah bidara
Menurut Johari, tanah lapang di Hadramawt seluas 1,214
hektar hingga 1,618 hektar merupakan kawasan kebun pokok-pokok sidr dan summur
iaitu sejenis buah bidara.
Dianggarkan 7,000 hingga 8,000 pekerja warga Yemen
akan menyusun bongkah-bongkah kayu berhampiran kebun sidr dan summur milik Abu
Khattab Ibrahim Al-Khamis, 45, iaitu ketua kabilah Bani Wadi Bin Ali.
Pokok sidr dan summur merupakan tanaman dan produk
rasmi yang dihasilkan di Yemen. Selain dua tanaman itu, pokok mara'i juga
merupakan salah satu tanaman yang menjadi tumpuan lebah untuk mendapatkan
nektar sepanjang tahun.
Waktu pendebungaan pokok mara'i berbeza dengan sidr
dan summur. Kedua-dua tanaman itu subur dan menghasilkan debunga pada musim
hujan iaitu pada bulan September hingga November setiap tahun.
Johari yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke Darul
Hadith, Ma'rib, Yemen pada tahun 2005 hingga 2007 telah memberi peluang
kepadanya mengenali kehidupan masyarakat Islam di negara itu.
Yemen merupakan destinasi keduanya untuk mendalami
ilmu hadis selepas menggenggam Ijazah Sarjana Muda Hadis dari Universiti Abi
Makar, Karachi, Pakistan.
Dua tahun pengajian di Yemen banyak meninggalkan
kenangan kepada Johari. Sepanjang di negara itu, dia mempelajari budaya
pemakanan sihat yang diamalkan oleh masyarakat Yemen.
Hasil pemerhatian Johari mendapati, hampir segenap
lapisan masyarakat Yemen menjadikan madu lebah sebagai diet harian mereka.
Bahkan, mereka juga tidak berkira untuk membelanjakan wang membeli madu
walaupun harganya mahal mengikut gred-gred tertentu.
Justeru, tidak hairanlah terdapat banyak gerai yang
menjual madu lebah di negara itu.
Media antarabangsa, Al Jazeera pada tahun 2010 turut
melaporkan bahawa madu lebah di Hadramawt dijual pada harga yang tinggi. Lebah
yang berada di sekitar kawasan tersebut juga menghasilkan madu terbaik di
dunia.
Ketika mengerjakan ibadah haji bersama isterinya dua
tahun lalu, Johari melihat madu dari Yemen gred terbaik dijual di Hotel Hilton,
Mekah pada harga $1,200 riyal (RM1,035).
"Di Mekah, saya membeli madu itu sebanyak 200
kilogram (kg) sebagai buah tangan untuk dijual setelah pulang tanah air. Tanpa
disangka, sambutan terhadap madu itu amat menggalakkan," ujar lelaki yang
berasal dari Butterworth, Pulau Pinang.
Sejak itu, Johari mengorak langkah terus ke Hadramawt,
Yemen untuk membeli madu tersebut sebanyak satu tan (1,000 kilogram).
Ketiga-tiga madu yang dihasilkan oleh lebah itu juga
berbeza warna dan kepekatannya. Madu sidr yang berwarna keemasan dijual dengan
harga yang lebih mahal berbanding summur dan mara'i.
Ketiga-tiga jenis madu itu juga mempunyai kandungan
air yang rendah.
Jelas Johari, tujuan asal dia mengimport ketiga-tiga
madu dari Yemen ke Malaysia untuk memberi pendedahan kepada masyarakat di
negara ini supaya menjadikan madu sebagai suplemen wajib dalam kehidupan
seharian.
"Dalam surah An Nahl ayat 69 jelas menunjukkan
kelebihan madu untuk kesihatan. Sebagai orang Islam, kita seharusnya beriman
dengan ayat-ayat al-Quran. Masyarakat di negara ini lebih gemar mengambil
suplemen lain berbanding madu.
"Dalam kajian dan perbahasan ulama, banyak
pendapat mengatakan Rasulullah SAW memilih madu dari Yemen sebagai makanan
utama baginda. Pelbagai riwayat mengatakan bahawa pedagang dari Yemen
menjalankan perniagaan madu di Mekah," ujarnya yang merupakan seorang
penghafaz al-Quran.
Tambahnya, Mekah dan Madinah tiada tanaman yang sesuai
untuk lebah mengambil nektar untuk menghasilkan madu kerana cuaca panas.
Justeru, tidak mustahil Rasulullah mengambil madu daripada pedagang dari Yemen.
Selain itu, kedudukan geografi Yemen yang berdekatan
dengan Mekah dan Madinah juga merupakan faktor yang menguatkan lagi kenyataan
kajian para ulamak itu.
Gred madu
Tahun lalu, Rayyan Salsabila Enterprise dengan jenama
Rayhanah telah mengimport sebanyak 30 tan madu Hadramawt gred A ke negara ini.
Menjelang bulan Ramadan ini, Johari akan mengimport sebanyak 12 tan sebagai
persediaan.
Rayyan Salsabila Enterprise yang kini mempunyai premis
di Bangi, Selangor telah mendapat sijil pengimport madu gred A daripada
kerajaan Yemen. Setiap prosedur untuk mengimport juga diselia dan dipantau oleh
kerajaan negara itu.
Justeru, masyarakat tidak perlu bimbang dengan
keaslian madu import Rayhanah kerana kawalan kualiti gred madu telah diselia
oleh kerajaan Yemen.
Tiga jenis madu Hadramawt Rayhanah dijual dalam
bungkusan botol yang berbeza iaitu satu kg dan 500 milimeter. Kini, Rayyan
Salsabila Enterprise memperkenalkan stik madu. Setiap kotak mengandungi 30 stik
dan ia merupakan strategi terbaik untuk menggalakkan masyarakat menikmati madu
dalam kehidupan seharian.
Di sebalik Rayyan Salsabila Enterprise, terdapat
seorang individu yang bertindak sebagai penasihat yang membantu perniagaan
usahawan bumiputera itu. Zulhisham Ayob, 54, merupakan pengasas agensi media
bumiputera terbesar di negara ini iaitu Oranje ISC Sdn. Bhd. terlibat secara
langsung untuk membantu strategi perniagaan Johari.
Pengalaman selama 28 tahun Zulhisham dalam memacu
syarikatnya dalam industri pemasaran dan pengiklanan di negara ini ternyata
memberi kesan positif terhadap perniagaan Rayyan Salsabila Enterprise.
Khasiat madu lebah Yemen diakui salah seorang
penggunanya, Mohd. Nazeri Yaacob, 39. Dia yang berdepan dengan masalah
pemakanan yang tidak dikawal sejak kecil, menanggung penyakit kolesterol tinggi
sejak 11 tahun lalu.
Kesan daripada penyakit itu, dia sering mengalami
kekejangan bahu dan leher sehingga membuatkan tidur malamnya tidak lena. Sejak
September tahun lalu, pengurus sebuah bank di ibu negara itu telah mencuba madu
Hadramawth Rayhanah setiap pagi.
Hasil daripada pengambilan itu, beliau merasa lebih
segar sewaktu bertugas di pejabat dan tidak lagi cepat letih.
"Saya mengamalkan pengambilan madu ini setiap
pagi. Saya mengambil tiga botol madu satu liter dan saya juga berjaya mengawal
gaya pemakanan berbanding sebelum ini," ujar beliau.