Kementerian
Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum artikel bertajuk “Madu diabetes” yang
disiarkan melalui akhbar Berita Harian pada 19 November 2017. Artikel tersebut
menyatakan kira-kira 80% pasaran madu lebah di negara ini adalah madu tiruan
dan hasil kajian makmal didapati madu tiruan diperbuat daripada gula, kanji dan
tepung jagung yang boleh memudaratkan kesihatan pengguna terutamanya pesakit
diabetes.
Madu merupakan
sejenis manisan yang dihasilkan oleh lebah menggunakan nektar bunga. Peraturan
130, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983 telah
menetapkan antaranya madu hendaklah mengandungi tidak kurang daripada 60% gula
penurunan (reducing sugars) dan mempunyai kandungan gula sukrosa tidak melebihi
daripada 10%.
KKM memandang
serius ke atas penjualan madu tiruan di pasaran. Hasil pemantauan KKM melalui
Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan dari tahun 2016 sehingga kini,
sebanyak 77 sampel produk madu dengan pelbagai jenama telah diambil di pasaran
tempatan. KKM mendapati bahawa tujuh (7) sampel produk (9.1%) tidak mematuhi
standard yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985. KKM telah
mengambil tindakan penguatkuasaan di mana syarikat berkenaan telah diarahkan
menarik balik produk terbabit dari pasaran dan tindakan mahkamah telah diambil.
Manakala
5-hydroxymethylfurfural (HMF) merupakan bahan organik yang terhasil dari hidrolisis
gula akibat pemanasan, penyimpanan pada suhu yang tinggi atau tempoh jangkamasa
penyimpanan yang lama. Bahan ini lazimnya digunakan sebagai petunjuk kualiti
madu dan kandungannya akan meningkat apabila suhu meningkat dan tempoh
penyimpanan bertambah. Menurut the Federal Institute for Risk Assessment (BfR),
Germany, HMF tidak memberikan kesan toksik kepada kesihatan manusia.
Seksyen
13B(2)(e), Akta Makanan 1983 memperuntukkan mana-mana orang yang menyediakan
atau menjual apa-apa makanan yang tidak mematuhi standard atau spesifikasi yang
ditetapkan oleh mana-mana peraturan di bawah Akta Makanan 1983 adalah melakukan
suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi
RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.
KKM akan terus
menjalankan pemantauan ke atas produk madu dan sekiranya didapati tidak
mematuhi Akta Makanan 1983, tindakan penguatkuasaan akan diambil.
KKM sentiasa
peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan
pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang
isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan
Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my
atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM)
www.facebook.com/bkkmhq.
Sekian, terima
kasih.
DATUK DR. NOOR
HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH
KESIHATAN MALAYSIA